Sunday, August 30, 2009

Fahami 4 Elemen Perjuangan

Setiausaha Agung PAS, Dato' Haji Mustafa Ali menegaskan ketika membentangkan kertas kerja dalam Majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS di Markaz Tarbiyyah PAS Perak di Air Kuning, Taiping bahawa Ahli PAS perlu memahami empat elemen perjuangan parti agar mereka lebih memahami erti perjuangan parti. Empat elemen tersebut ialah dasar PAS yang tidak boleh berubah, memperkasa dan memperkukuhkan seluruh tenaga manusia yang menggerakkan perjuangan jamaah, penyusunan organisasi agar ia menjadi lebih cekap, taktik dan strategi yang berkesan.
Matlamat perjuangan PAS ialah politik dan dakwah di mana kedua-duanya mesti berjalan serentak. Ini amat penting kerana dakwah tanpa kuasa (politik) adalah tidak mencukupi dalam konteks mencegah kemungkaran berdasarkan hadith. Dengan kuasa, kita boleh mengubah apa sahaja dasar negara yang bertentangan dengan Islam.

Selain itu, para pimpinan dan ahli perlu melaksanakan 3K iaitu ketaqwaan, kecekapan dan kreativiti. Penyusunan organisasi pula amat penting kerana ia merupakan penghubung antara pimpinan atasan dengan ahli-ahli di peringkat bawah. Tanpa wujud organisasi maka amat sukar segala dasar dapat sampai ke akar umbi.

Taktik dan strategi boleh berubah mengikut suasana semasa sebagai mana yang dialami oleh PAS sendiri melalui ijtihad tahaluf as siyasi yang mana ia menyaksikan PAS kekal relevan di persada politik negara kerana melakukan kerjasama dengan pihak lain. Antara catatan sejarah tahaluf siyasi ini ialah pada 1974 - 1978 PAS bergabung dengan BN, 1990-1995 PAS bekerjasama dengan S46/APU di Kelantan, 1999 melalui GERAK/Keadilan dan 2008 wujudnya Pakatan Rakyat ang melibatkan kerjasama dengan PKR dan DAP.

No comments:

Post a Comment